Monday 31 August 2015

KEPENTINGAN PENGURUSAN MASA YANG BERKESAN



PENGURUSAN MASA

Ada manusia yang berkata "tak cukup masa"
Ada manusia yang berkata "cukup masa "
Ada juga manusia yang berkata "terlebih masa"

      Setiap manusia di muka bumi ini dikurniakan  tempoh waktu yang sama dalam sehari iaitu 24 jam atau 1440 minit  atau 86400 saat .Namun begitu,mengapakah masih terdapat pelbagai jawapan yang diberikan sekiranya diajukan soalan "cukup kah 24 jam sehari?" Sebenarnya,segalanya bergantung kepada bagaimana seseorang itu menguruskan masa dalam kehidupan seharian.

Pengurusan masa yang berkesan  bermaksud bagaimana seseorang itu menguruskan masa dalam kehidupan seharian dengan cara terbaik agar dapat menjalani sebuah kehidupan yang teratur, sistematik dan lancar.Pengurusan masa merupakan satu kemahiran yang harus dikuasai oleh setiap individu sama ada sebagai seorang pelajar, seorang yang bekerjaya, seorang nelayan mahupun seorang suri rumah.


KEPENTINGAN PENGURUSAN MASA


Setiap manusia terutamanya umat Islam diwajibkan menguruskan masa dengan cara yang paling sempurna, optimum dan berkesan.Oleh itu,terdapat banyak ayat-ayat dalam Al-Quran yang menggesa dan menyarankan agar semua umat Islam berbuat sedemikian.Antaranya seperti firman Allah SWT berkaitan masa dalam surah ke 103 iaitu Surah Al-Ashr.
  • Masa dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya
    Jika seseorang itu bijak menguruskan masa, individu tersebut dapat megelakkan diri daripada melakukan perkara yang tidak berfaedahContohnya,seorang pelajar yang         cemerlang pastinya mempunyai peribadi yang luhur dan menggunakan teknik yang betul dalam mengurus masa seharian iaitu dengan tidak terjerumus dalam melakukan perkara-perkara yang tidak bermanfaat seperti merokok, melepak, bergaduh dan menagih dadah.Aktiviti-aktiviti tersebut bukan sahaja membuang masa malah memudaratkan diri serta mencemarkan nama baik keluarga,diri,masyarakat,bangsa dan agama.


  • Disiplin diri yang mantap dapat dibentuk
         
    Seseorang itu dapat memupuk sifat menepati masa jika mereka mampu menguruskan masa dengan berkesan. Pembahagian masa yang tersusun juga mampu menjadikan seseorang itu patuh pada peraturan yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, seseorang pelajar perlu merancang masa dengan betul apabila mereka pulang dari sekolah seperti menetapkan masa belajar, menyiapkan kerja rumah dan mengulang kaji pelajaran di samping masa untuk beriadah, menonton televisyen dan mengaji Al-Quran. Jadual yang dirancang ini dapat menjadikan pelajar tersebut  berupaya menguruskan kehidupannya dengan teratur kerana  mereka dapat melaksanakan urusan kehidupan mereka secara teratur.Mereka perlu mematuhi jadual yang telah dirancang dan menepati masa yang telah ditetapkan. Jika hal ini berlaku, seseorang itu dapat memupuk disiplin diri yang kukuh kerana mereka telah menguruskan masa dengan berkesan.




  • Urusan dapat disiapkan dengan lancar
    Pengurusan masa yang berkesan mampu membuatkan kita menyusun aktiviti yang ingin dilakukan dengan cara terancang. Dalam hal ini, ketepatan masa dalam menyiapkan sesuatu tugasan yang diberikan mampu menghasilkan tugasan yang berkualiti. Seseorang yang bijak merancang masa dapat menyiapkan tugasan yang diberikan mengikut durasi masa yang telah ditetapkan jika mereka menguruskan masa dengan berkesan. Mereka tidak akan tergesa-gesa melakukan sesuatu pekerjaan jika pembahagian masa telah dibuat secara berjadual.


  • Dapat mengelakkan diri daripada tekanan

 Pada masa yang sama, seseorang itu tidak akan berada dalam keadaan tertekan kerana proses menyiapkan tugasan yang diberikan itu telah dilakukan secara tenang, bukannya disiapkan secara tergesa-gesa apabila tempoh tamat hampir tiba. Hasilnya, tugasan yang diberikan itu akan menjadi lebih berkualiti dan dapat diserahkan mengikut tempoh masa yang ditetapkan.



                                    AYUH,URUSKAN MASAMU ! :)


Kesimpulannya, setiap masa yang dilalui hendaklah diatur dengan sebaik mungkin kerana masa yang terlepas tidak akan kembali semula.Berapa banyak masa yang telah kita bazirkan sebelum ini perlu dihitung semula kerana kita tidak berupaya untuk mengembalikan semula masa yang telah berlalu.Peribahasa ada mengatakan bahawa di mana ada kemahuan di situ ada jalan.Jadi, segala-galanya terpulang kepada diri kita sendiri untuk melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.

#GADISBERSKAFPIC
#KEPENTINGANPENGURUSANMASA


7 comments: